Industri francais terus menyumbang pemulihan ekonomi negara – PM

0
4

PERNIAGAAN francais mendapat permintaan dalam kalangan usahawan dan orang ramai kerana konsepnya terbukti berdaya maju serta jenamanya yang popular, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, melalui sistem francais, perniagaan dapat berkembang cepat menerusi rangkaian yang besar dan membantu merancakkan aktiviti ekonomi negara terutama sektor makanan dan minuman, peruncitan, pendidikan serta perkhidmatan.

“Sehingga kini, perniagaan francais berdaftar di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjumlah 1,093 syarikat, 616 daripadanya jenama francais tempatan, 409 lagi jenama francais asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Francais Malaysia 2021, di Putrajaya malam ini.

Menurutnya, rakyat patut berbangga kerana jenama francais tempatan berjaya bertapak di lebih 70 negara di seluruh dunia.

Antara negara mempunyai outlet jenama francais Malaysia terbanyak adalah Arab Saudi dengan 744 outlet, Indonesia (670), Amerika Syarikat (424) serta beberapa negara lain.

“Saya yakin, dengan kebersamaan dan sokongan padu Keluarga Malaysia terhadap jenama francais tempatan, kita mampu menerokai dan mengembangkan lagi jenama francais Malaysia di persada antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, industri francais telah menyediakan lebih 80,000 pekerjaan dan menyumbang lebih RM1.4 bilion dalam kitaran ekonomi setahun melalui pembayaran gaji pekerja di syarikat francais.

“Untuk makluman, pada 30 November lalu, nilai jualan industri francais mencecah RM14.6 bilion, melepasi sasaran ditetapkan iaitu RM13 bilion dengan peningkatan hampir 10 peratus tahun sebelumnya.

“Walaupun tahun kewangan semasa belum berakhir dan dunia masih berhadapan cabaran impak Covid-19,” katanya.

Ismail Sabri berkata, industri francais dijangka terus menyumbang ke arah pemulihan ekonomi negara mulai tahun ini hasil pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Kerajaan akan terus menyokong pembangunan dan pertumbuhan industri francais demi memastikan lebih ramai pemain industri dapat dilahirkan serta lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk Keluarga Malaysia.

“Di bawah Bajet 2022, pelbagai inisiatif turut dirangka untuk membantu usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) menerusi pelbagai kementerian dan agensi yang terlibat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here