TULAR berita mengenai penularan wabak Covid-19 membabitkan pelajar di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya yang dikatakan telah mengakibatkan lebih 60 pelajar positif ketika ini.
Turut tersebar gambar Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yang dikatakan telah melawat dan bertemu pengurusan sekolah serta pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Difahamkan kesemua yang dijangkiti sudah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRCB), Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, petang tadi.

Baki ratusan pelajar masih di asrama menunggu ujian saringan covid dijalankan dan ibu bapa dipercayai mendesak supaya ujian dilakukan segera supaya mereka yang negatif boleh pulang ke rumah masing-masing.
Terdahulu tular seorang pengguna Facebook dengan akaun bernama Khairul Afiza Ismail mendakwa, setakat jam 6.43 petang tadi seramai 65 pelajar positif Covid-19 membabitkan pelajar Tingkatan 1 dan 2 Sekolah Seri Puteri.

“Seramai 65 positif Covid-19 Tingkatan 1 dan 2 Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, manakala 170 kontak rapat sedang dikuarantin.
“Polis sudah tiba di sekolah katanya. Masih tiada informasi dari pihak sekolah kepada ibu bapa,” tulisnya di Facebook.
Beliau yang dipercayai bapa kepada seorang pelajar sekolah di berkenaan turut mendakwa penularan itu disebabkan oleh dua guru dijangkiti Covid-19.

“Walhal anak-anak semua sihat dan lulus saliva test (ujian kendiri Covid-19) bila ibu bapa lepaskan anak-anak.
“Feel free to share (silakan kongsi). Ramai ibu bapa dah mengamuk,” katanya yang memaklumkan anaknya dilaporkan ada simptom selsema. – Malaysiapost

