PELAJAR Ain Husniza Saiful Nizam dan bapanya akan memfailkan saman balas terhadap seorang guru yang menyaman mereka, susulan hantaran TikTok mengenai dakwaan jenaka rogol.
Mereka juga merancang mengheret Menteri Pendidikan, Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor serta pengetua sekolah atas dakwaan gagal melindungi Ain Husniza daripada insiden tersebut, lapor Malaysiakini.
Jumaat lalu, guru tersebut, Khairul Nizam Sanuddin dilapor memfailkan saman fitnah terhadap Ain dan bapanya, Saiful Nizam, 42.
Peguam mereka, SN Nair mengesahkan Ain Husniza dan bapanya akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap guru tersebut dan beberapa pihak lain.
“Guru tersebut masih bekerja di bawah kerajaan, jadi sebarang (dakwaan) kesalahan yang dia lakukan, kerajaan bertanggungjawab atas dasar liabiliti vikarius.
“Insiden (didakwa) berlaku ketika pengetua ada. Pengetua patut menyiasat dan mengendalikannya, itu adalah tugasnya,” katanya seperti dilapor portal tersebut.
Mengulas lanjut, Nair berkata Ain Husniza dan bapanya berhasrat memfailkan saman terhadap guru itu dan pihak lain atas (dakwaan) sengaja mengakibatkan tekanan emosi (tort of intentionally inflicting emotional distress atau IIED).
Dia berkata, IIED secara asasnya adalah satu bentuk tort pengabaian di mana tindakan defendan menyebabkan seseorang mengalami tekanan emosi.
Berhubung saman fitnah difailkan guru tersebut, Nair berkata Ain Husniza dan bapanya akan diwakili peguam ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, sebelum memfailkan pernyataan pembelaan.
Pengurusan kes bagi saman fitnah adalah esok.
Pada 24 April lalu, Ain Husniza memuat naik video di TikTok mendakwa seorang guru lelaki membuat jenaka berkenaan rogol ketika sesi pembelajaran pendidikan jasmani dan kesihatan. – Malaysiapost

