KERAJAAN perlu melihat kepada langkah-langkah drastik yang perlu dilaksanakan dalam usaha menurunkan harga barang makanan basah.
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan menggesa kerajaan mengehadkan eksport barang-barang mentah agar dapat mengimbangi penghasilan dan permintaan barangan atau “supply and demand”.
Pada masa sama, katanya kerajaan perlu meningkatkan import barangan mentah agar dapat menurunkan harga dan usaha untuk mengimport ayam mentah beku.
“Untuk jangka masa panjang, kerajaan perlu mencari jalan untuk mewujudkan simpanan stok atau “stockpile” barangan mentah dan ladang-ladang ternakan secara tersusun bagi meningkatkan penghasilan produk makanan tanpa terlalu bergantung barangan import.
“Kerajaan perlu pantas di saat dunia kini berdepan varian Omicron yang lebih dahsyat.
“Jangan biarkan rakyat kita dihimpit kesengsaraan ekonomi, ditambah pula kegusaran Omicron yang kian mengganas,” katanya menerusi kenyataan.
Shahir juga meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terus menguatkuasakan peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, ia bagi memastikan kenaikan harga barangan disebabkan ketidakcukupan atau ketidakberadaan barangan dalam pasaran. Penguatkuasaan juga perlu dilaksanakan secara menyeluruh agar tiada pihak memanipulasi harga barang. – Malaysiapost

