KLATCC perkukuh pengurusan ruang udara negara – PM

0
2

KOMPLEKS Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) bakal memperkukuh dan memperkasa pengurusan serta pemantauan ruang udara negara pada masa depan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Perdana Menteri berkata, dengan adanya pusat kawalan secara bersepadu serba canggih, tentu keupayaan dan kesiapsiagaan negara dapat dipertingkat untuk menghadapi situasi dunia penerbangan yang mencabar serta menyokong masa depan generasi akan datang. 

Beliau berkata, melalui penyediaan sistem dan peralatan kawalan trafik udara yang baru dan lebih efisyen ini, ia secara langsung mampu mempertingkatkan tahap kecekapan perkhidmatan trafik udara negara, setanding negara maju di dunia.  

“Hari ini saya amat bersyukur kerana rakyat boleh berbangga dengan terbinanya sebuah bangunan “WAU”, yang bukan sahaja menempatkan operasi perkhidmatan trafik udara bagi seluruh ruang udara Semenanjung Malaysia, malah menempatkan Pusat Mencari dan Menyelamat atau Search And Rescue, serta Joint Airspace Management Coordination Center atau JAMCC.  

“Selain itu, pertambahan jumlah pergerakan pesawat dan peningkatan kapasiti ruang udara yang akan terhasil daripada Projek KLATCC baharu ini, tentunya akan memberi impak positif kepada sektor ekonomi negara, terutamanya dalam sektor penerbangan awam,” katanya merasmikan KLATCC di Sepang, hari ini.  

KLATCC merupakan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang dimulakan pada 18 Januari 2016, dengan peruntukan RM650.366 juta.  

Ismail Sabri berkata, pengoperasian KLATCC tepat pada waktunya ketika negara sedang mengambil tindakan untuk memulihkan ekonomi negara.  

“Besar harapan saya agar pembukaan sempadan negara kelak akan merancakkan lagi sektor penerbangan awam, secara langsung akan memberi kesan positif hasil limpahan kepada ekonomi negara. 

“Sungguh pun industri penerbangan awam mengalami kemerosotan yang amat ketara sejak tersebarnya pandemik Covid-19 pada awal tahun 2020, menyebabkan penutupan sempadan antarabangsa yang menjejaskan industri pengangkutan udara, trend peningkatan semula sektor ini dijangka pulih kembali menjelang tahun 2025,” katanya.  

Ismail Sabri menambah, kejayaan pembangunan projek KLATCC baharu itu adalah sebahagian pencapaian Keluarga Malaysia yang amat membanggakan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here