Harga barang: Menteri perlu ambil peduli, elak kenyataan guris hati rakyat

0
2

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu mengambil peduli isu kenaikan harga barang serta menggelak mengeluarkan kenyataan menguriskan hati rakyat. 

Justeru Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menggesa Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turun padang meninjau dan melihat sendiri keadaan sebenar bagi menyelesaikan isu terbabit. 

“Tertarik saya nak komen tentang isu hangat tentang kos sara hidup, saya selaku pemimpin dalam parti Umno dan Barisan Nasional (BN), serta Ketua Umno Bahagian (Subang) merayu kepada Menteri KPDNHEP untuk turun ke gelanggang, lapangan untuk lihat apa yang berlaku. 

“Jangan keluarkan kenyataan yang boleh dilihat menguris perasaan rakyat dalam keadaan kita sedang diuji dengan masalah ekonomi, tekanan pelbagai sudut dengan pengangguran dan sebagainya. 

“Hari ini kita sedang melangkah dari negara pandemik Covid-19 kepada endemik. Satu langkah yang amat penting untuk kembali membuka ekonomi dan sebagainya. 

“Jadi, penting kepada kerajaan hari ini terutamanya menteri KPDNHEP untuk ambil peduli situasi rakyat, janganlah cakap kos barang ni naik kepada kadar yang biasa dan sebagainya. 

“Korang (Kamu) turun.. tengok kat luar, teruk dah kat luar ni, jangan main-main benda ni. Adakah korang ni saja nak menyakitkan hati rakyat? Tolonglah ambil peduli,” katanya menerusi satu rakaman video. 

Selain itu, beliau meminta Menteri Pertanian dan Industri Makanan untuk melihat masalah peningkatan harga barangan pertanian termasuk perladangan. 

“Kalau anda semua tak turun, tak fikir untuk cari jalan penyelesaian.. perkara ini tidak sihat dan tidak menguntungkan negara dan rakyat,” katanya. 

Beliau berkata, kenaikan harga barang ini perlu diambil peduli dan menjadi keutamaan kerana melibatkan kesejahteraan rakyat. 

“Atau korang ni memang nak sabotaj Perdana Menteri? Ini masa untuk fikirkan kebajikan rakyat dan Menteri Kewangan ini bukan masa nak naikkan cukai, ini masa untuk kau fikir macam mana naikkan FDI (pelaburan langsung asing) ke dalam (negara),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here