Malaysia tangguh seketika fasa peralihan ke endemik

0
3

PERALIHAN ke fasa endemik yang dirancang terpaksa ditangguhkan sementara waktu susulan perkembangan terkini penularan varian baharu Covid-19, Omicron.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kerajaan memutuskan untuk memperhalusi semula langkah bagi mengumumkan fasa peralihan endemik sehingga mendapat maklumat lanjut berhubung varian berkenaan.

Beliau berkata, walaupun setakat ini varian Omicron belum dikesan Malaysia, tindakan berhati-hati perlu dilaksanakan berikutan varian itu dilaporkan sangat pantas dan mudah berjangkit.

“Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah memaklumkan bahawa setakat hari ini tiada kes yang melibatkan varian Omicron di negara kita tetapi tindakan berhati-hati terus dilaksanakan seperti yang dimaklumkan tempoh hari.

“Varian ini menular dengan begitu pantas dan mandat diberi kepada Menteri Kesihatan untuk mengumumkan dari semasa ke semasa perkembangan terkini dan tindakan yang perlu diambil,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan memutuskan kemungkinan mengumumkan peralihan ke fasa endemik namun dihentikan seketika untuk melihat perkembangan varian Omicron .

“Kuartet (mesyuarat) hari ini telah membuat keputusan bahawa kawalan sempadan perlu diketatkan dan mandat diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menentukan tindakan selanjutnya.

“Ia berhubung kait dengan keluar masuk sempadan dan apa jua prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan,” katanya.

Hishammuddin yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, berkata daripada pemantauan di rantau ini dan dunia, Malaysia berada dalam keadaan sama dengan negara-negara yang paling awal memantau dan memerhatikan varian baru ini.

“Ini satu petunjuk yang baik kerana kita berada di landasan yang sentiasa mengikuti perkembangan berhubung kait penularan Covid-19 ketika ini

“Oleh kerana varian baru ini kerajaan memutuskan ke fasa peralihan endemik ditangguhkan sementara waktu.

“Kerajaan nak lihat apa yang menular hari ini di seluruh dunia berhubung kait dengan varian baru Omicron,” katanya.

Menurutnya, perkembangan mengenai varian Omicron dibincangkan secara teliti dalam mesyuarat hari ini kerana kerajaan bimbang semua yang telah rancang sebelum ini yang telah pun diumumkan akan terjejas.

“Kelonggaran-kelonggaran SOP, tujuh asas yang kita harap dapat diumumkan dalam masa terdekat dalam fasa endemik semuanya mungkin terjejas kalau kita tidak dapat pantau secara dekat penularan Omicron,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here