2 penumpang transit di Singapura positif Omicron

0
2

DUA penumpang dalam penerbangan Singapore Airlines (SIA) dari Johannesburg, Afrika Selatan dan transit di Singapura dikesan dijangkiti varian Covid-19 Omicron di Sydney, Australia, kata Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura.

MOH berkata, Kementerian Kesihatan New South Wales (NSW Health) mengesahkan dua pengunjung terbabit yang tiba di Sydney dari Afrika Selatan itu, dengan menaiki penerbangan SQ211 SIA semalam, telah disahkan positif varian Omicron tersebut.

“Pengunjung itu berlepas dari Johannesburg, pada 27 November melalui Penerbangan SQ481 dan tiba di Lapangan Terbang Changi pada hari sama untuk penerbangan transit mereka dan ujian prapenerbangan Covid-19 mereka adalah negatif.

“Kebanyakan pengunjung kekal di kawasan transit di Lapangan Terbang Changi sehingga berlepas ke Sydney pada 28 November, dan tidak memasuki Singapura atau melawat kawasan lain di Lapangan Terbang Changi,” katanya seperti dilapor Berita Harian Singapura.

Tujuh daripada penumpang dalam penerbangan itu telah turun dan memasuki Singapura.

Enam daripada mereka kini menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) 10 hari di kemudahan khusus dan akan diuji dengan ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR).

Seorang penumpang adalah kontak rapat dengan individu yang dijangkiti dalam penerbangan itu, dan telah dikuarantin.

“Penjejakan kontak sedang dijalankan bagi kakitangan lapangan terbang yang mungkin telah mempunyai kontak sementara dengan kes-kes tersebut,” katanya.

Semua kakitangan SIA yang bekerja dalam penerbangan dari Singapura ke Sydney di mana kedua-dua kes itu dikesan akan melakukan kuarantin sendiri dan menjalani ujian untuk penyakit itu.

Sementara itu, SIA berkata, juruterbang dan anak kapalnya yang mengendalikan Penerbangan SQ211 akan mematuhi langkah-langkah tersebut mengikut panduan daripada pihak berkuasa.

SIA enggan mendedahkan sebarang maklumat mengenai penumpang atas kerahsiaan pelanggan, tetapi berkata ia akan membantu pihak berkuasa kesihatan dalam semua usaha penjejakan kontak yang diperlukan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here