PM minta guna bahasa Melayu

0
2
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menziarahi lapan adik beradik yang telah kehilangan ibu bapa disebabkan pandemik Covid-19 di Bukit Beruntung hari ini.

AGENSI kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta ditegur kerana lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris dalam majlis, mesyuarat, persidangan, projek dan produk mereka.

Teguran itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mahu supaya bahasa Melayu digunakan dalam semua acara atau majlis yang dianjurkan dengan meluas selepas ini.

Menurutnya, rakyat perlu memainkan peranan untuk memastikan bahasa Melayu terus berkembang.

“Ketika ini, sudah menjadi kebiasaan untuk tidak menggunakan bahasa Melayu dalam program swasta, malah GLC dan agensi kerajaan.

“Mesyuarat agensi dan GLC juga menggunakan Bahasa Inggeris. Penggunaan nama syarikat, projek perumahan dan jenama produk kini menjadi lumrah dengan tidak juga menggunakan bahasa Melayu.

“Saya berharap setiap persidangan, mesyuarat dan lain-lain mesti menggunakan bahasa Melayu selepas ini. Siapa lagi boleh mengangkat bahasa Melayu melainkan kita sendiri,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021, di Dewan Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor, malam tadi.

Majlis berkenaan mengumpulkan 78 peserta dari 36 negara melalui tiga kategori dipertandingkan iaitu Pelajar Antarabangsa, Alam Melayu dan Pelajar Antarabangsa yang telah menetap di Malaysia.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan komited untuk memastikan dasar digubal selama ini membantu menyokong usaha memartabatkan bahasa Melayu.

“Kita mahu mengulangi sejarah kegemilangan bahasa Melayu, dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengungkap ilmu dan bahasa antarabangsa abad ke-21.

“Untuk itu, kerajaan sangat menggalakkan pelaksanaan program dan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan yang dapat menyemarakkan lagi roh kecintaan terhadap bahasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) turut menyatakan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud urusan rasmi.

Menurutnya, dalam konteks sektor awam, pemerkasaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam digariskan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Katanya, pada masa ini terdapat lebih 6,000 bahasa yang masih diguna pakai, akan tetapi hanya 20 bahasa saja yang dikategori dan diberi taraf bahasa rasmi.

“Rakyat wajar berasa bangga kerana bahasa Melayu adalah salah satu daripada 20 bahasa itu dan menduduki tangga ke-10 bahasa paling popular penggunaannya di dunia.

“Sebagai Keluarga Malaysia, kita harus berasa bangga kerana di celah ruang penguasaan teguh Bahasa Inggeris, bahasa Melayu tetap ampuh mencorak ritma tersendiri dan sentiasa mekar di persada tamadun dunia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here