KPM laksana saringan Covid-19 bergilir untuk murid sekolah rendah

0
2

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan 10 peratus sampel saringan Covid-19 secara mingguan dengan kaedah penggiliran, selaras Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KPM dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah membekalkan kit ujian kendiri Covid-19 ke sekolah rendah di bawah kementeriannya bagi memastikan ujian saringan dapat dilaksanakan seperti mana tatacara pelaksanaan ujian kendiri Covid-19 yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

“KPM akan mengeluarkan surat pemakluman berkenaan pelaksanaan saringan bergilir Covid-19 untuk murid sekolah rendah yang perlu dilaksanakan pada setiap Rabu, pada hari persekolahan,” kata kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, KPM juga menyarankan agar ketetapan itu turut terpakai di semua sekolah rendah institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM.

Terdahulu, media melaporkan mulai Isnin ini, murid sekolah rendah diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 mingguan secara bergilir, bagi mengelakkan wujudnya kluster pendidikan.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ujian terbabit adalah sebahagian daripada Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here