Mohan, Murugiah kekal Naib Presiden MIC

0
3

PERSAINGAN sengit jawatan Naib Presiden MIC akhirnya terjawab apabila Ahli Dewan Negara, Senator Datuk T Mohan dan Datuk T Murugiah berjaya mempertahankan kedudukan itu.

Bekas Setiausaha Agung MIC, Datuk M Asojan pula muncul muka baharu mengalahkan penyandang jawatan itu, Datuk C Sivarraajh dalam pemilihan penggal 2021-2024 parti berkenaan hari ini.

Selain Sivarrajh, turut kalah dalam persaingan itu adalah AK Ramalinggam yang merupakan Setiausaha Eksekutif dan Ketua Penerangan, Datuk V Gunalan, lapor MalaysiaGazette.

Mohan menerima undian tertinggi iaitu sebanyak 11,586 undi, manakala Murugiah mendapat 9,139 undian dan Asojan sebanyak 8,703 undian.

Ia diumumkan oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan secara rasmi kepada pihak media petang tadi selepas selesai kiraan undi di Ibu Pejabat MIC di Kuala Lumpur hari ini.

Saravanan turut memaklumkan Ramalingam memperoleh 7,102 undi, Sivaraajh (4,589) dan Gunalan 3,223 undi.

Proses pengundian jawatan tiga naib presiden dan 21 Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti berusia 75 tahun itu berlangsung 4 petang semalam membabitkan lebih 20,000 perwakilan MIC dari 140 Bahagian seluruh negara.

Sebelum ini, pemilihan barisan kepimpinan tertinggi pusat parti itu diadakan serentak dengan perhimpunan agung tahunan (AGM) namun pada tahun ini ia diadakan secara berasingan.

Sebelum ini, Tan Sri S A Vigneswaran dan Saravanan masing-masing berjaya mempertahankan jawatan mereka sebagai Presiden MIC dan Timbalan Presiden MIC selepas memenangi jawatan berkenaan tanpa bertanding. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here