PAS memutuskan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 pada 18 Disember ini.
Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS pusat akan mengadakan pertemuan bersama PAS Sarawak pada hujung minggu ini yang akan memuktamadkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi.
“PAS akan bertanding di Sarawak, dan memutuskan jumlah kerusi setelah perundingan dengan PAS Sarawak pada hujung minggu ini.
“PAS yakin pengundi Sarawak akan memberi undi kepada calon yang diturunkan terdiri daripada anak Sarawak dari pelbagai bidang kepakaran dan ketokohan,” katanya dipetik Harakahdaily, hari ini.
Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar lebih terbuka dalam kempen dan gerak kerja PRN.
Katanya, hal ini berikutan situasi liputan media yang dilihat sangat terbatas di Sarawak yang menyukarkan penggunaan media baharu dalam berkempen.
Selain itu, beliau turut melahirkan rasa dukacita dengan kenaikan mendadak tiket penerbangan ke Sarawak, dan menganggap hal sedemikian tidak sepatutnya berlaku.
PRN Sarawak ditetapkan bermula 6 Disember ini bagi penamaan calon disusuli pengundian awal pada 14 Disember dan hari pengundian pada 18 Disember ini. – Malaysiapost

