
USAHAWAN dan penyanyi kontroversi, Ahmad Iqbal Zulkefli yang kecewa akibat sering dikecam netizen kini membawa diri ke negara jiran, Indonesia.
Pelantun lagu Hujan itu memaklumkan pemergiannya walaupun kerana urusan kerja, namun dia turut ingin membawa diri bagi menyembuhkan hati yang terluka.
“Bermula hari ini, saya akan tinggal di Indonesia. Memang atas urusan kerja, namun saya harus bawa diri. Saya ‘pamit’.
“Terima kasih kepada semua yang menyakiti saya. Terima kasih kepada yang masih sudi mendoakan,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Ahmad Iqbal turut memuatnaik video yang memaparkan dia sudah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dia berharap akan berbahagia di Indonesia dan dapat bertemu dengan insan yang boleh menyembuhkan hatinya.
“Berharap di Indonesia saya bisa bahagia dan bertemu dengan orang yang menyembuhkan luka.
“Salam hormat untuk rumah baruku Indonesia. Jika ada sesuatu doa, pesanan atau apa sahaja, silakan tinggal di sini, saya akan baca dengan sepenuh hati,” katanya.
Sementara itu, rata-rata komen netizen berhubung hantaran itu tetap mengecamnya termasuk yang beranggapan perkongsian itu hanya ‘drama’ semata-mata.
“Larilah ke negara mana sekalipun kalau masih aktif kat media sosial..berkongsi itu ini di media sosial sama juga, orang akan kecam,” tulis Kakfie
“Iqbal sedih je kan? Bukan cacat, sampai orang lain kena pakai kan semua benda dan betulkan rambut Iqbal ‘btw we will miss you’,” kata Tiya Fatiyah.
“Sedih tak sedih..duit wajib dipertontonkan,” kecam Willmain pula susulan video dikongsi turut memaparkan Ahmad Iqbal menunjukkan mata wang Indonesia dipegangnya.
Sebelum ini, Ahmad Iqbal pernah beberapa kali mencetuskan rasa kebencian netizen terhadap dirinya, yang bermula dengan drama percintaan hingga pembatalan pernikahan dengan Vida.
Selain itu, Iqbal turut menanam rasa ‘menyampah’ netizen apabila menayang segala kemewahannya termasuk membongkar harga kucing-kucing miliknya yang dibeli dengan nilai sehingga puluhan ribu ringgit.
Kebencian netizen semakin memuncak apabila Iqbal melancarkan single pertamanya berjudul Hujan pada 1 November lalu selain tular video menunjukkan dia memijak taburan wang kertas RM50 di atas lantai. – Malaysiapost
Kredit Foto: Instagram/Ahmad Iqbal Zulkefli
