Bersetubuh dengan kambing, warga emas mengaku tidak bersalah

0
2

SEORANG lelaki warga emas mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kambing betina di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Pertuduhan terhadap Shaari Hasan, 60, dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan luar tabii dengan haiwan iaitu kambing betina di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Buaya, Rawang, jam 1.30 tengah hari, 27 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Khadijah Amir Hamdzah yang mengendalikan kes tidak menawarkan jaminan memandangkan ia adalah kes serius.

Bagaimanapun peguam tertuduh, Zolazrai Zolkapli memohon jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya hidup sebatang kara.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Disember depan untuk serahan dokumen serta sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan perbuatan jijik itu dikesan oleh seorang wanita yang juga pemilik kambing selepas terdengar bunyi mengembek dari kandang di belakang rumahnya pada 27 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin dilaporkan berkata wanita tempatan berumur 45 tahun itu kemudian mendapati terdapat seorang lelaki dikenalinya, dalam keadaan separuh bogel bangun dari sebelah kambing miliknya.

Katanya, lelaki tersebut kemudian melarikan diri manakala kambing peliharaan wanita itu mati.

Suspek yang mempunyai rekod jenayah ditahan pada jam 10.50 pagi keesokan harinya di kawasan semak Jalan Tengah, Kampung Sungai Buaya di Rawang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here