DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarah segera melakukan kerja baik pulih tanah runtuh bersebelahan flat Blok 4, Taman Kuchai Entrepreneurs di Seputeh.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, usaha itu perlu dilakukan serta-merta bagi mengelak kejadian lebih buruk.
“Dengan keadaan hujan lebat sebelah petang, risiko akan bertambah tinggi. Struktur tanah lembut dan tidak stabil boleh bawa bencana lebih besar,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya.
Semalam, beliau dilaporkan bergegas ke lokasi kejadian selepas beberapa mesyuarat di pejabatnya setelah menerima maklumat mengenai isu itu ketika berada di Parlimen.
Menurunya, berdasarkan pemerhatian keluasan tapak tanah runtuh tersebut menjangkau selebar kira-kira 3.7 meter dengan panjang pula enam meter serta jarak kedalaman sehingga 4.6 meter.
“Soal keselamatan dan nyawa rakyat tidak boleh dikompromi, malah kita harus memastikan isu ini menjadi keutamaan dalam setiap tugasan harian bersama,” katanya.
Beliau turut mengakui agak terkejut apabila melihat sendiri keadaan tanah runtuh sehingga membentuk lubang besar berisiko tinggi kepada penduduk sekitarnya.
Bagaimanapun pihak DBKL dan MPP telah memasang tali pita amaran serta meletakkan penghadang di sekeliling tanah runtuh untuk mengelak orang awam daripada cuba melaluinya. – Malaysiapost

