Johor selamat dikunjungi selepas sempadan dibuka – Ayob Khan

0
2

POLIS Johor menafikan terdapat ancaman kemungkinan akan berlaku kejadian ragut jalanan di negeri berkenaan membabitkan rakyat Singapura apabila sempadan Malaysia – Singapura dibuka.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya mengesan satu kenyataan palsu yang tular di media sosial berhubung ancaman berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai apa jua yang ditularkan dan menyemak dahulu kesahihan maklumat tersebut.

Kenyataan palsu yang tular di media sosial berhubung ancaman berkenaan.

“Polis Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita yang tidak sahih,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kadar jenayah indeks di Johor pada tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak 2,610 kes atau 39.67 peratus dengan jenayah harta benda menurun 41.37 peratus, manakala jenayah kekerasan turun 32.21 peratus.

Menurutnya, kes samun ragut pada tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak 125 kes bersamaan 77.64 peratus berbanding tahun lalu.

“Secara keseluruhan kedudukan jenayah di Johor adalah dalam keadaan terkawal dan statistik jenayah indeks menunjukkan trend penurunan.

“Polis Johor akan meneruskan tindakan pencegahan secara agresif bagi membanteras jenayah dalam memastikan Johor selamat didiami dan dikunjungi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here