BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selesai melengkapkan dos penggalak vaksin Covid-19 di Institut Jantung Negara (IJN), hari ini.
Turut melengkapkan dos penggalak berkenaan adalah isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Perkara itu dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang memuat naik beberapa gambar pasangan terbabit di laman Facebooknya.
“Alhamdulillah, pada pagi tadi Tun Dr Mahathir Mohamad telah selamat melengkapkan dos penggalak vaksin Covid-19 (booster dose) beliau di IJN.
“Saya telah dimaklumkan oleh Tun Siti Hasmah sendiri bahawa Tun Dr Mahathir tidak mengalami apa-apa kesan sampingan serius selepas vaksinasi dan berada dalam keadaan sihat,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan kajian RECoVaM perlindungan terhadap Covid-19 berkurangan dalam tempoh tiga hingga lima bulan selepas divaksin.
“Sehubungan itu, dapatkanlah dos penggalak untuk perlindungan optimum.
“Tun berdua menyeru kepada semua individu yang layak menerima dos vaksin penggalak untuk menepati temujanji mereka,” katanya.
Menurutnya, bagi yang belum menerima janji temu dos penggalak, hubungi fasiliti kesihatan berdekatan dengan anda yang disenaraikan di protecthealth.com.my untuk membuat pendaftaran. – Malaysiapost

