“Takkan bila menang mahu ‘makan bersama’?” – Tok Mat

0
3

TIADA keperluan melantik dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, BN tidak berada dalam kedudukan yang memerlukan parti itu untuk membawa masuk dua Adun berkenaan sebagai ahli Exco dalam pembentukan kerajaan negeri Melaka.

“Saya berpandangan, tiada keperluan mereka (ADUN PN) berada dalam barisan Exco Melaka.

“Kalau bertanding tidak bersama, takkan bila menang mahu ‘makan bersama’? Saya mahu tanya apa keperluannya, bila kita buat sesuatu mesti ada keperluan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Negeri Sembilan di Seri Sendayan, malam tadi.

Menurutnya, BN mempunyai ramai ADUN yang layak dilantik sebagai Exco negeri Melaka.

“Jika kita tidak cukup kerusi betullah, tetapi kita sudah berlebihan kerusi, dalam kalangan kita juga sudah berlebih untuk dilantik sebagai Exco.

“Jika dibawa kepada kepimpinan parti saya akan tanya apa keperluannya kerana saya salah seorang pemimpin tertinggi parti, jika saya puas hati dengan jawapannya, itu okay,” katanya.

Terdahulu Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dilaporkan berkata, kedudukan dua ADUN PN dalam barisan Exco belum diputuskan.

Sulaiman berkata, perkara berkenaan perlu melalui perbincangan bersama pucuk kepimpinan BN dengan mengambil kira senario parti itu yang bertanding secara solo dalam PRN Melaka.

Sementara itu, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata, bukan menjadi satu kejanggalan sekiranya persefahaman dan kerjasama antara parti berlaku di peringkat Persekutuan namun tidak pula di peringkat negeri.

“Terdapat di beberapa negara lain, di peringkat Kerajaan Persekutuan, mereka bersama tetapi di negeri mereka tidak bersama. Itu bukan satu kejanggalan dan bukan baharu tetapi di Malaysia ia kali pertama.

“Jadi… kalau tidak ada apa-apa buat apa mahu pening-pening kepala, kalau kerajaan Melaka membentangkan, saya akan tanya, kalau mereka boleh nyatakan dan memaklumkan ada keperluan itu (lantik Exco) kita setuju.

“Kita juga tidak mahu buat ia sukar untuk mana-mana pihak, tetapi justifikasinya mesti ada,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here