Biar PM tentukan bila PRU – Razlan

0
2
Datuk Razlan Rafii

KEPUTUSAN bila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sesuai diadakan biarlah ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Razlan Rafii berkata Kabinet boleh berbincang apa sahaja berhubung tarikh sesuai untuk PRU dilaksanakan, namun akhirnya keputusan tersebut adalah hak Perdana Menteri.

“Sekiranya Perdana Menteri melihat ada keperluan untuk mengadakan PRU, itu hak Perdana Menteri.

“PRU ini bukan hanya melihat faktor kekuatan, ia juga melibatkan keadaan ekonomi, sosial rakyat dan keperluan kestabilan. Semua pertimbangan ini diambil kira namun ia keputusan Perdana Menteri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Razlan berkata, ketika ini rakyat sedang melarat akibat dari legasi yang ditinggalkan Pakatan Harapan (PH) yang menyebabkan pelabur lari dan ekonomi merundum.

Malah katanya, banyak sistem kerajaan lumpuh akibat tindakan PH yang terus berdendam semasa memerintah.

“Saya rasa keperluan untuk melihat semua sudut atas dasar kepentingan rakyat perlu diambil kira, BN dari dahulu bukan melihat kepada kemenangan semata-mata, ia mesti datang dengan masa yang sesuai untuk rakyat mendapat manfaatnya,” katanya.

Terdahulu Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata tarikh PRU15 sama ada diadakan dalam masa terdekat atau sebaliknya, akan ditentukan oleh Kabinet.

Setiausaha Agung PAS itu berkata keputusan tersebut bukan ditentukan oleh mana-mana parti politik.

“Yang menentukan PRU adalah Kabinet, bukannya parti tertentu. Malah, Kabinet terdiri daripada pelbagai parti. Maka, biarlah Perdana Menteri yang menentukan tarikh PRU,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang meminta PRU diadakan dalam masa terdekat, susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here