Tak adil jika Anwar seorang dipersalahkan

0
2

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) terkilan dengan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bilut dari DAP, Lee Chin Chen yang mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur sebagai Ketua Pembangkang.

Sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai biadap dan angkuh, Naib Ketua AMK, S Thiban berkata amat tidak wajar mana-mana pihak menunding jari terhadap Anwar berikutan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Sebagai Adun, Chin Chen seharusnya memberi ruang dan masa kepada pucuk kepimpinan untuk buat ‘post-mortem’ bagi mengenal pasti faktor kekalahan PH dan mencari solusi kepada masalah yang wujud.

“Pelbagai faktor telah menyebabkan PH kalah dalam PRN Melaka. Pimpinan PH termasuk Anwar sedia menerima segala kritikan dan pandangan.

“Namun, sangat tidak adil jika Anwar Ibrahim seorang sahaja dipersalahkan atas kekalahan PH,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu Chin Chen dilaporkan menggesa Anwar berundur sebagai Ketua Pembangkang ekoran kekalahan teruk PH pada PRN Melaka, Sabtu lalu.

Setiausaha DAP Pahang itu berkata, Anwar perlu berundur supaya PH dapat meneroka hala tuju dan konsensus baharu serta menentang konservatif agama dalam pakatan sayap kanan Melayu secepat mungkin.

Namun katanya, sekiranya gagal berbuat demikian, DAP perlu mempertimbangkan kemungkinan untuk keluar daripada PH.

Mengulas lanjut, Thiban berkata Chin Chen harus sedar setiap keputusan berkenaan PRN Melaka dibuat secara konsensus menerusi mesyuarat Majlis Presiden PH.

Beliau menegaskan ia bukan keputusan Anwar seorang, malah beberapa perkara yang tidak dipersetujui Anwar terpaksa diterima atas desakan DAP dan Amanah walaupun bercanggah kehendak rakyat.

“Apa sebenarnya motif Chin Chen menuding jari serta mendesak Anwar berundur? Apakah Chin Chen akan turut desak Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu untuk turut berundur dari pucuk kepimpinan PH?

“Saya juga menggesa beliau kemukakan satu nama yang mampu untuk menggantikan Anwar selaku Ketua Pembangkang. Jika tidak beliau harus memohon maaf secara terbuka!

“Kenyataan Adun DAP ini menunjukkan bahawa semangat setiakawan dalam PH semakin pudar dan rakan sekutu tidak ikhlas dalam kesatuan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan ugutan untuk keluar PH oleh Chin Cheng seolah-olah wujud perancangan untuk menubuhkan satu pakatan baru tanpa PKR.

“Jika itu yang dimahukan oleh pimpinan DAP maka mereka boleh keluarkan PKR dari PH. PKR bertanding di semua kerusi majoriti Melayu dan kawasan pedalaman bukannya kerusi yang selesa untuk menang.

“Sehingga kini tiada siapa dari PKR menunding jari terhadap parti komponen dan menyalahkan mereka atas kekalahan ini.

“Semangat setiakawan itu harus dikekalkan dan bukannya menunding jari menyalahkan satu sama lain,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here