PH kalah teruk bukan disebabkan ‘katak politik’ – Khalid Samad

0
3

AMANAH menolak persepsi kekalahan teruk PKR serta Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka berpunca gara-gara merestui dua ‘katak politik’ bertanding atas lambang gabungan itu. 

Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad berkata, sekiranya sentimen berkenaan diambil kira, pastinya calon Bersatu mewakili Perikatan Nasional (PN) juga akan menerima nasibnya yang sama, ditolak pengundi.

“Kalau orang benci sangat dekat katak kenapa Bersatu yang dipenuhi katak dapat undi?

“Macam Mas Ermieyati (calon PN di Tanjung Bidara) walaupun dia kalah, tetapi dapat undi tinggi juga, padahal dia katak,” katanya dipetik FMT, hari ini. 

Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga bekas Ketua Puteri Umno merupakan antara ‘katak politik’ awal bertindak  melompat parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. 

Beliau tewas di DUN Tanjung Bidara pada PRN Melaka apabila memperolehi 3,195 undi berbanding pemenang Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang meraih 3,559 undi.

Mengulas mengenainya, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, kekalahan teruk PH semalam, harus dilihat dalam konteks yang telus, bukan atas sentimen PH memberi ruang kepada dua bekas pemimpin Umno.

“Orang kata dua bekas Umno itu punca kita kalah…itu tidak betul. Dulu (pilihan raya umum ke-14) kita menang besar sebab Bersatu bersama kita, itu harus diakui,” katanya. 

Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Seri Noor Azman Hassan telah dipecat oleh Umno kerana menjadi punca runtuhnya kerajaan negeri Melaka pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Oktober lalu. 

Kemudian, mereka berdua telah mendapat restu PH untuk menjadi calon bertanding di PRN Melaka lalu. 

Bagaimanapun, Idris kalah di kerusi DUN Asahan, manakala Noor Azman tewas di DUN Pantai Kundor.

Jelas Khalid, kekalahan di Melaka memberi isyarat jelas kepada PH mengenai keperluan membentuk gabungan lebih besar, merangkumi Pejuang, Muda dan Warisan, selain PKR, DAP, Amanah dan Upko.

“Amanah sudah lama laungkan hal ini. PH tidak boleh kata kita dah cukup kuat dan tidak mahu orang itu dan orang ini.

“Kita kena akui parti-parti itu mampu beri undi kepada calon PH. Kita kena usahakannya dan tunjuk kita mampu bersama menentang kleptokrasi,” katanya. 

Khalid turut membayangkan Anwar Ibrahim masih relevan dan diperlukan untuk menerajui PH kerana beliau adalah pilihan terbaik yang ada.

Beliau turut menegaskan tiada keperluan PH perlu merombak kepimpinan tertingginya susulan kekalahan semalam. 

“Jika ada yang lebih baik, bincanglah,” katanya ringkas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here