Rakyat telah bersuara, katak politik tak diterima sama sekali – Najib

0
3

DATUK Seri Najib Razak berkata keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang besar membuktikan rakyat telah menghantar mesej jelas bahawa ‘kata-katak politik tidak diterima sama sekali’.

Sambil mengakui ia pilihan raya yang sukar di sebalik kemenangan besar gabungan itu, Najib yang juga Pengerusi Penasihat BN berkata rakyat mahu ‘Kestabilan demi Kemakmuran’.

Ini kerana katanya, BN berdepan serangan bertubi-tubi dan fitnah daripada lawan yang mana strategi serta skrip lama Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) diulang.

“Tetapi rancangan dan halatuju pembangunan mereka tidak jelas dan tidak ada kredibiliti. Akhirnya, rakyat membuat penilaian sama ada mereka yakin terhadap BN, PH atau PPBM (Bersatu).

“Rakyat memilih Kestabilan demi Kemakmuran. Kepada semua rakyat negeri Melaka, terima kasih. Terima kasih kerana memberi peluang kepada BN untuk memimpin dan berkhidmat untuk saudara-saudari.

“Saya yakin Melaka bawah pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan bertambah baik, stabil dan makmur. Berganding bahu dengan kerajaan BN di peringkat Persekutuan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Najib memberi jaminan rakyat boleh berpegang kepada janji manifesto BN Melaka dan ia akan diusahakan.

Beliau juga menyampaikan penghargaan kepada akar umbi PAS di Melaka yang turut memberi sokongan kepada BN atas dasar dan semangat Muafakat Nasional (MN) di kawasan-kawasan tertentu.

“Walaupun terdapat perbezaan pendapat dari segi halatuju bersama pada masa ini, namun ahli-ahli kita semua tidak lupa usaha-usaha dahulu ke arah pembentukan MN dan hanya mahukan yang terbaik.

“Persaudaraan yang terjalin atas semangat perjuangan dan keikhlasan tidak akan terputus,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here