PROSES pengundian di semua 217 pusat mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka setakat jam 12 tengahari berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Ali, berkata pemantauan pihaknya mendapati semua pengundi, jentera dan penyokong parti mematuhi norma baharu dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Katanya, PRN kali ini, dilihat semua parti menunjukkan sisi kematangan masing-masing, apabila tiada provokasi dicetuskan mana-mana pihak.
“Apa yang paling baik sekali proses PRN Melaka ini, langsung tiada barong-barong panas berhampiran pusat mengundi dibuka yang boleh mencetuskan provokasi.
“Ini menunjukkan pengundi dan parti-parti politik kini semakin matang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga profesional dan tahniah kepada orang Melaka kerana kematangan ini,” katanya.
Sebanyak 28 kerusi DUN dipertandingkan dalam PRN Melaka dengan membabitkan 112 calon. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Polis Melaka

