Dulu tak sokong Wan Azizah, kini PAS sokong Mas Ermieyati jadi KM

0
3

PAS mempunyai alasan tersendiri kenapa parti itu akur untuk dipimpin oleh seorang wanita sebagai ketua kerajaan negeri kali ini.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, ada sebab mengapa partinya memberikan sokongan penuh kepada Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) walaupun mereka pernah menunjukkan sikap berbeza di Selangor pada 2014.

Jelasnya, situasi yang melibatkan Datuk Seri Wan Azizah dengan Mas Ermieyati ini adalah berbeza sama sekali.

“Yang pertama, kita semua tahu ‘Langkah Kajang’ dibuat untuk menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim yang sudah memerintah (Selangor), sedangkan di Melaka ini kita tak ada ketua menteri yang rasmi,” katanya dipetik Malaysiakini, hari ini.

Untuk rekod, pada 2014, PAS berkeras menolak menyokong Presiden PKR ketika itu, Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Khalid.

Cubaan PKR ketika itu menerusi ‘Langkah Kajang’ gagal selepas PAS tidak memberikan dukungan yang ketika itu menjalinkan kerjasama dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR) yang mentadbir Selangor.

Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menamakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya gabungan itu berjaya menawan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok.

Disoal berhubung keutamaan kepimpinan PAS dalam soal integriti ekoran status Mas Ermieyati yang melompat parti sebelum ini, Hashim berkata, suasana dalam PRN Melaka hari ini memerlukan parti itu menyokongnya.

“Kita cakap tentang integriti, tetapi suasana yang wujud di Melaka hari ini memerlukan kita menyokong, itu bukan biasa, tetapi suasana, teknik berpolitik dalam suasana yang ada di Melaka itu memerlukan kita menyokong Mas Ermieyati sebagai calon ketua menteri.

“Daripada pemerhatian kita, apabila calon ini (Mas Ermieyati) diumumkan, keadaannya heboh. Pihak lawan pun rasa tertekan dengan pencalonannya,” katanya.

Hashim menambah, daripada semua calon yang diketengahkan oleh mana-mana parti untuk menjadi ketua menteri, PAS mendapati populariti mereka terlampau rendah.

“Maka, kita lihat dalam kalangan calon-calon PN, Mas Ermieyati inilah yang ke hadapan berbanding calon lain.

“Disebabkan itu kita sokong cadangan untuk menjadikan Mas Ermieyati sebagai Ketua Menteri Melaka,” katanya.

Mas Ermieyati merupakan Ahli Parlimen Masjid Tanah yang dipertaruhkan PN untuk memenangi kerusi DUN Tanjung Bidara.

Beliau dijangka berdepan cabaran sengit dengan Pengerusi Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here