PENYANYI popular, Haqiem Rusli selamat diijabkabulkan dengan gadis pilihan hati Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, dalam sebuah majlis yang berlangsung di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya, Cyberjaya sebentar tadi.
Selepas dua kali lafaz, Haqiem, 23, sah bergelar suami kepada Wan Anis Sofea, 19, pada sekitar jam 3.40 petang.
Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300, wang hantaran berjumlah RM100,000 dan lima dulang hantaran berbalas lima dulang hantaran kepada pihak pengantin perempuan.
Pasangan dua sejoli itu nampak manis mengenakan persalinan berwarna kelabu.
Menerusi hantaran terbaharu Instagramnya, Haqiem turut memuat naik gambar Wan Anis Sofea dengan kasyen emoji bentuk hati berwarna kelabu.
Sebelum ini, Haqiem mengumumkan tarikh perkahwinannya secara rasmi selepas memenangi trofi Penyanyi Lelaki Popular pada malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-34 Sabtu lalu. – Malaysiapost

