Sekat lesen kedai judi: 4 penduduk Kedah fail semakan kehakiman

0
3

DAP membantu empat penduduk Kedah untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri menghentikan pembaharuan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk kedai judi.

Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Kebangsaan, Ramkarpal Singh berkata permohonan untuk membatalkan keputusan tersebut atas dasar ia tidak munasabah dan melangkaui kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan kerajaan Kedah untuk tidak memperbaharui lesen sedemikian adalah ultra vires (melampaui) perlembagaan memandangkan kuasa untuk mengeluarkan lesen sedemikian terletak eksklusif di bawah bidang kuasa Parlimen.

“Plaintif akan berhujah lanjut bahawa keputusan tersebut oleh Menteri Besar (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) adalah tidak munasabah dan sewajarnya dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi dengan permohonan semakan kehakiman,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ramkarpal berkata tindakan undang-undang itu difailkan semalam di Mahkamah Tinggi Alor Setar bagi pihak empat penduduk Kedah yang sebelum ini menyertai kegiatan judi berlesen.

Plaintif diwakili oleh firma guaman Messrs Karpal Singh & Co.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata Kedah bakal mengharamkan operasi semua kedai nombor ekor dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka.

Muhammad Sanusi juga mengumumkan Kedah akan mengehadkan penjualan minuman keras di semua premis, khususnya kawasan luar bandar yang tiada permintaan serta destinasi pelancongan bebas cukai di Langkawi.

Semalam, beliau mengulangi pendiriannya bahawa keputusan itu adalah muktamad.

Tegasnya, langkah itu bukanlah untuk menafikan hak orang bukan Islam, sebaliknya perjudian memberi kesan buruk kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here