SPR minta pengundi keluar awal Sabtu ini, jangan tunggu saat akhir

0
2

PENGUNDI Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu ini, dinasihatkan keluar mengundi awal dan tidak menunggu saat akhir untuk berbuat demikian.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya meminta semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Katanya, pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan SPR melalui aplikasi MySPR Semak.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

“Namun demikian, pengundi dinasihat untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan pencegahan Covid-19, pada hari mengundi nanti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Ikmalrudin mengingatkan pengundi membawa catatan maklumat pengundian dan kad pengenalan dan serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

“Pengundi juga dinasihat supaya tidak menyerahkan kad pengenalan kepada pihak lain selain petugas pilihan raya,” katanya.

Seramai 476,037 pengundi biasa daripada 495,195 orang pengundi berdaftar, layak mengundi pada 20 November 2021 ini.

Manakala seramai 11,557 orang adalah pengundi awal dan 7,601 orang telah mengundi secara pos.

“Bagi pengundi yang telah mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi.

“Pengundi disaran membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi melalui saluran seperti portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my; aplikasi MySPR Semak; hotline SPR di talian 03-8892 7018.

“Semasa membuat semakan, pengundi disaran mencatat dan menyimpan maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here