[Parlimen] TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim mempertahan pandangannya yang mahu warganegara Malaysia menggunakan Bahasa Melayu dalam berkomunikasi kecuali dengan mereka yang tidak mampu bertutur dalam bahasa itu.
Beliau menjawab celahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang bertanya kepentingan untuk mempunyai kebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris.
Celahan tersebut berhubung kait dengan isu Awang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad yang dikatakan ‘mengasak’ seorang wartawan yang bertanya kepada mereka dalam bahasa Inggeris.
“Memang baguslah kerana saya boleh jawab soalan ini tetapi itu keluar daripada tajuk. Jadi untuk menjawab juga, bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan dan kita perlu gunakan dalam semua sektor.
“Kita menggunakan bahasa Melayu kecuali dengan pelabur daripada luar yang tidak faham bahasa Melayu. Kalau kita rakyat Malaysia, kita perlu setia kepada Malaysia dengan menggunakan bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, tular video memaparkan Awang dan Idris dikatakan ‘mengasak’ seorang wartawan wanita portal Free Malaysia Today yang menyoal isu penutupan kedai nombor ekor oleh kerajaan negeri Kedah.
Apabila ditanya oleh wartawan itu mengenai rasa khuatir kalangan masyarakat terhadap keputusan menyekat aktiviti perjudian, Idris menyoal sama ada beliau (wartawan) boleh menerima jika suaminya ‘kaki judi.
Manakala, Awang mahu tahu sama ada wartawan itu warga Malaysia selepas menegurnya kerana bertanya soalan dalam Bahasa Inggeris. – Malaysiapost

