PELAJAR Terbaik Sekolah-Sekolah Menengah Agama Kedah 2020 maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan Toyota Unser di Jalan Baru Baling-Kupang berdekatan Charok Nau, hari ini.
Dalam nahas jam 11.30 pagi, Muhammad Munzir Abdul Razak, 19, dipercayai dalam perjalanan ke pusat pengajiannya di Yayasan Khairiah Kampung Pisang, Kupang, selepas menduduki ujian menunggang motosikal kelas B2.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, berkata mangsa berasal dari Taman Pekatra Indah, Simpang Empat, Pulau Pinang, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan dan kepala.
Menurutnya, mangsa dikatakan baru selesai menduduki ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi lesen menunggang motosikal kelas B2 di sekolah memandu, dan lulus ujian berkenaan pada sebelah pagi.
“Sebaik mendapat keputusan ujian, mangsa menunggang motosikal Yamaha Lagenda untuk pulang ke pusat pengajiannya sebelum bertembung MPV di simpang empat berdekatan Charok Nau.
“Ketika tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dikatakan keluar simpang secara mengejut manakala pemandu MPV dari arah pekan Baling menyebabkan kedua-duanya berlanggar,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Shamsudin berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa melambung dan jatuh di laluan bertentangan selain parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, jenazah mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim bagi menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum proses bedah siasat dapat dilakukan.
“Pemandu MPV berusia 49 tahun berasal dari Kampung Kuala Chenerai, Kuala Pegang dilaporkan tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Muhammad Munzir merupakan pelajar terbaik Kedah selepas mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Berita Semasa Tempatan Malaysia

