KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) masih kekal dengan keputusan kerajaan berhubung pelaksanaan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang tidak akan disambung selepas tamat tempohnya 31 Disember ini.
Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata Ini adalah kerana PATI dan majikan telah diberikan ruang dan masa yang mencukupi untuk berada di Malaysia dengan cara yang sah sejak pelaksanaan pelan tersebut bermula 16 November tahun lalu.
“Operasi penguatkuasaan secara berterusan akan dilaksanakan bagi menahan PATI dan majikan yang masih melanggar akta dan peraturan-peraturan Imigresen yang berkuatkuasa,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran yang bertanyakan perancangan kerajaan untuk melanjutkan Pelan Rekalibrasi PATI selepas tarikh 31 Disember ini.
Hamzah berkata, pihak kementerian juga sedar bahawa penutupan sempadan negara serta penangguhan sementara pengajian pekerja asing baharu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020 telah memberi kesan negatif keatas pengoperasian industri dan ekonomi secara keseluruhannya.
“Bagi menampung keperluan tenaga kerja asing khususnya dalam sektor dan sub sektor yang tidak dapat menarik minat tenaga kerja tempatan, kerajaan telah merangka program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK)
“Ia sebagai salah satu komponen Pelan Rekalibrasi PATI agar majikan dapat menggajikan PATI secara sah. Pendekatan ini secara tidak langsung dapat menyokong usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya.
Menurutnya, bagaimanapun kerajaan tidak sesekali akan berkompromi dengan elemen keselamatan negara dan sebab itu antara syarat penyertaan RTK PATI messtilah belum didakwa di mahkamah atau dijatuhkan hukuman atas kesalahan Imigresen disamping bebas daripada sebarang kes jenayah lain.
“PATI yang mempunyai dokumen tetapi melakukan kesalahan lain seperti tinggal lebih masa antara yang diberikan kelonggaran, tetapi kalau tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah ini menjadi masalah untuk kita membenarkannya,” katanya. – Malaysiapost

