DI SEBALIK kesukaran berkempen akibat prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengekang penularan Covid-19, Umno dan Barisan Nasional (BN) tetap menaruh hasrat memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kemenangan 20 kerusi akan membolehkan BN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
“Kami berhasrat menang dua pertiga, iaitu melebihi 20 kerusi, kenapa nak 20 kerusi? Kerana tema kempen kita ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’.
“Dengan dua pertiga kita boleh pinda perlembagaan negeri untuk melantik lima Adun lantikan, dengan penambahan itu kerajaan akan lebih stabil, bila tak stabil,” katanya dalam temubual secara langsung bersama sebuah portal berita hari ini.
Mengulas lanjut Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian tidak menolak pelaksanaan SOP ketat sepanjang tempoh berkempen sedikit sebanyak memberi kesan kepada BN.
Namun katanya, jentera parti menggunakan pelbagai kaedah bagi memenangi hati pengundi di sebalik kesukaran untuk bersemuka seperti kelaziman kempen BN.
“Kekuatan Umno selama ini adalah kempen rumah ke rumah dan cemarah berkelompok, namun kedua-duanya tak boleh dilaksanakan.
“Jadi kita hantar risalah kepada pengundi dan menggunakan media sodial, ada lagi masa sebelum hari mengundi (dapatkan sokongan seberapa ramai pengundi),” katanya. – Malaysiapost

