Dalang pemalsuan dokumen Imigresen ditahan

0
2

SEORANG lelaki warganegara Pakistan yang menjadi dalang sindiket pemalsuan dokumen ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu serbuan di sebuah Kondominium mewah di Setapak, Kuala Lumpur pada Jumaat, lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata suspek berusia 37 tahu itu dirahan dalam satu operasi penguatkuasaan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM.

Menurutnya, pemeriksaan di premis serbuan mendapati sebuah bilik dijadikan makmal untuk menghasilkan pelbagai jenis dokumen palsu.

“Antara yang dijumpai adalah set peralatan komputer, mesin pencetak kad, pelbagai jenis cap perwakilan asing dan lain-lain peralatan yang digunakan dalam aktivitii haram ini.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai pelekat-pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), lesen memandu Malaysia dan visa negara asing siap dicetak yang disusun rapi dipercayai sedia untuk diserahkan kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, turut dijumpai adalah stok pelekat yang masih kosong dan wang tunai berjumlah RM13,710 yang disyaki hasil jualan dokumen palsu berkenaan.

“Soal siasat ke atas subjek telah membawa pasukan operasi ke sebuah kondominium lain di Jalan Genting Kelang yang turut disewa untuk kegiatan ini.

“Pemeriksaan di premis ini telah menjumpai cap-cap Pas Lawatan Sosial (PLS) dan lain-lain cap rasmi JIM palsu yang digunakan dalam pemalsuan dokumen.

“Modus operandi subjek adalah mengunakan PLKS sebuah syarikat pembersihan sebagai lesen untuk beliau bergerak bebas bagi menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang ini,” katanya.

Menurutnya, suspek juga dikesan menyewa beberapa kondominium mewah yang mempunyai akses terhad serta kawalan keselamatan ketat bagi menyukarkan siasatan dan dikesan pihak berkuasa.

“Sindiket ini dikesan telah menjalankan kegiatan sejak setahun lalu dengan mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM500 bagi setiap pelekat PLKS bergantung kepada kualiti yang dikehendaki oleh pelanggan.

“Manakala bagi lesen memandu, bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM50 dan kegiatan haram ini telah menyebabkan kerugian hasil kerajaan khususnya dalam bentuk bayaran levi pekerja asing hingga mencecah jutaan ringgit,” katanya.

Beliau berkata, kes kini disiasat dibawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan menghasilkan dokumen palsu dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 bagi kesalahan melanggar syarat pas.

“Suspek akan ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here