Kes Najib sahaja ditangguh lebih 5 bulan untuk keputusan – Wan Junaidi

0
2
najib razak

HANYA kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sahaja yang telah ditangguh untuk keputusan dalam tempoh melebihi lima bulan, Dewan Rakyat diberitahu, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang menjawab isu sama ada terdapat kelewatan kes di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mengenai berapa banyak kes yang ditangguhkan selama lima bulan dan sama ada terdapat kelewatan dalam diberikan keputusan kes.

Wan Junaidi berkata, pada kebiasaannya kes rayuan jenayah yang ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Rayuan akan diputuskan pada hari yang sama iaitu hari pendengaran kes.

“Walau bagaimanapun kes-kes rayuan melibatkan isu rumit dan memerlukan penelitian yang mendalam, tarikh keputusan untuk rayuan akan ditetapkan dalam satu tempoh masa yang munasabah.

“Berdasarkan rekod Pejabat pendaftaran Mahkamah Rayuan pada masa ini hanya kes melibatkan Ahli Parlimen Pekan (Najib) sahaja yang telah ditangguh untuk keputusan dalam tempoh melebihi lima bulan,” katanya.

Beliau berkata, selain itu terdapat lima lagi kes rayuan yang melibatkan Najib di Mahkamah Rayuan yang masih aktif.

“Bagi Mahkamah Persekutuan pula tiada sebarang kes rayuan jenayah yang tertangguh untuk keputusan melebihi tempoh lima bulan.

“Pada masa ini terdapat satu rayuan jenayah di Mahkamah Persekutuan membabitkan Ahli Parlimen Pekan yang masih aktif yang telah didaftarkan pada 13 September lalu.

“Kes itu kini sedang menunggu penyediaan alasan penghakiman serta rekod rayuan,” katanya.

Sementara itu, Gobind Singh turut membangkitkan kes kehilangan wang AS$6 juta (RM25 juta) membabitkan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Wan Junaidi bagaimanapun memaklumkan beliau tidak mempunyai jawapan buat masa ini sama ada terdapat cubaan pihak tertentu untuk menutup kes berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here