Muar tidak terima peruntukan kerajaan – Syed Saddiq

0
2
syed saddiq

AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menzahirkan rasa kecewa kerana hingga kini kawasannya masih tidak mendapat peruntukan seperti yang dijanjikan kerajaan sebelum ini.

Menurutnya, peruntukan seperti dijanjikan dalam sidang Dewan Rakyat pada 23 September lalu masih belum diterima dan keadaan lebih menyukarkan apabila kawasan Parlimennya dilanda banjir baru-baru ini.

“Situasi banjir di Muar baru-baru ini sangat mencemaskan, pada masa sama bantuan kerajaan tidak begitu cepat

“Kerisauan saya pada dua minggu lalu banjir begitu teruk sehingga saya terpaksa menempatkan dua keluarga di rumah saya sendiri di Muar..saya kongsikan pengalaman perit ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau membangkitkan isu berkenaan ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, menjawab soalan yang dibangkitkan ketika sesi perbahasan Bajet 2022.

Syed Saddiq berkata, difahamkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sudah mendapatkan peruntukan khas berkenaan, namun beliau masih tidak menerima sebarang peruntukan.

“Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) saya rasa dalam tempoh terdekat akan dapat RM600,000, Ahli Parlimen kerajaan pula dalam tempoh tiga bulan mendapat RM3.8 juta manakala Sabah dan Sarawak mendapat hingga RM5 juta.

“Di Muar kosong sen dan saya telah bertemu sendiri Perdana Menteri sebanyak tiga kali bagi membangkitkan perkara ini dan diberikan komitmen secara bertulis tetapi dah masuk bulan November orang Muar tidak dapat satu sen pun lagi,” katanya.

Menurutnya, peruntukan itu berkaitan dengan bencana banjir kerana apabila orang susah dilanda banjir, beliau perlu menjawab tetapi kerajaan tidak membantu.

“Macam mana saya nak bantu rakyat jika kerajaan mendiskriminasi Ahli Parlimen?

“Pada 23 September lalu di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri telah menjawab bahawa semua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang akan diberi peruntukan bagi empat bulan terakhir namun sehingga kini satu sen pun belum diberikan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Latiff enggan menjawab isu dibangkitkan Syed Saddiq kerana terkeluar daripada isu yang dijawab hari ini iaitu berkaitan bencana banjir.

Beliau bagaimanapun berjanji untuk menyelesaikan isu dibangkitkan itu dan berjumpa sendiri Syed Saddiq di luar Dewan Rakyat untuk berbincang perkara itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here