BEKAS Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengingatkan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhenti menabur fitnah dan dendam kepadanya.
Musa berkata, beliau tidak sepatutnya menjadi sasaran Mohd Shafie kerana dirinya tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kali ini.
Jelasnya, berikutan itu beliau bukan lagi tentangan Mohd Shafie, namun keadaan sebaliknya berlaku apabila namanya terus disebut dalam kempen Warisan.
“Kita melihat banyak video dan papan iklan memaparkan wajah Shafie dengan cogan kata ‘membina negara’, ‘marilah kita bersama membina satu negara, tanpa mengira bangsa dan agama’ dan ‘perpaduan’, tetapi ucapan kempennya dipenuhi dengan hentaman kepada saya.
“Saya memahami perlunya beliau membuat ucapan politik yang berapi-api sepanjang berkempen, namun adalah memalukan bagi seorang pemimpin negeri berulang kali menyebarkan pembohongan dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang individu yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan.
Musa yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga berkata, beliau sebelum ini turut memfailkan saman RM1 bilion terhadap Yayasan Sabah termasuk Mohd Shafie kerana memfitnah.
Katanya, beliau tidak mempunyai pilihan lain selain mengambil tindakan undang-undang kerana Mohd Shafie tidak berhenti membuat pembohongan selain terus mencabar dirinya.
“Saya terpanggil membuat kenyataan ini untuk menjelaskan keadaan dan membersihkan nama saya daripada tuduhan yang dilemparkan beliau.
“Kebelakangan ini, beliau membuat pelbagai fitnah, termasuk menuduh saya meluluskan kontrak Yayasan Sabah kepada beberapa individu tertentu.
“Justeru, saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan fitnah ini adalah percubaan memburukkan reputasi saya dan sekadar memenuhi agenda jahat,” katanya.
Katanya, agak membimbangkan melihat Mohd Shafie dan penyokong menyasarkan komuniti tertentu, memainkan sentimen perkauman, sesuatu yang amat bertentangan dengan seruannya berkaitan kaum dan agama.
“Ini amat membahayakan dan bertentangan dengan norma masyarakat pelbagai kaum.
“Nasihat saya kepada Shafie ialah, daripada terlalu memberi fokus kepada saya, dia sepatutnya memberitahu rakyat mengapa Warisan perlu menerajui Sabah dan mengapa dia patut dipilih untuk mengetuai kerajaan.
“Sebagai pemimpin, anda harus fokus kepada apa yang sudah dicapai dan apa yang boleh ditawarkan kepada rakyat,” katanya.
Musa berkata, apa yang sepatutnya menjadi agenda Mohd Shafie ialah meningkatkan infrastruktur, ekonomi, menyediakan pekerjaan dan peluang perniagaan serta memastikan setiap rakyat mempunyai makanan di atas meja.
“Serangan bertali arus terhadap ‘Musa Aman’ tidak akan membantu Shafie dan Warisan mencapai agenda ini,” katanya. -Malaysiapost

