Muhammad Mustakim Ramli
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan pindaan jadual perlawanan Liga Super di antara Kedah menentang Sabah susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Alor Setar.
Perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 19 September di Stadium Darul Aman itu dipinda ke Kuala Lumpur pada 21 September ini.
Perkembangan itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan setelah menerima permohonan rasmi daripada pasukan Kedah.
“Dimaklumkan bahawa MFL telah menerima permohonan rasmi dari pasukan Kedah mengenai permohonan pindaan tarikh dan venue (lokasi) bagi perlawanan tersebut kerana Stadium Darul Aman, Alor Setar terletak di dalam Daerah Kota Setar yang telah diisytihar untuk pelaksanaan PKPD (Pentadbiran).
“Oleh demikian, pihak MFL memutuskan meminda tarikh dan lokasi bagi perlawanan tersebut di mana tarikh 19 September 2020 dan lokasi di Stadium Darul Aman, Alor Setar telah dipinda ke 21 September 2020 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
“Ia selepas mendapat persetujuan bersama daripada kedua-dua pasukan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau memaklumkan pindaan perlawanan itu juga setelah mengambil kira segala aspek seperti penyiar rasmi, komersil MFL serta pihak media.
“Pindaan ini tidak membabitkan perlawanan-perlawanan lain seperti yang telah dijadualkan di mana jadual perlawanan CIMB Liga Super Malaysia 2020 telah dikemaskini,” katanya. -Malaysiapost

