YAYAYSAN Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bersetuju dengan pendirian Kerajaan Negeri Kedah bahawa aktiviti perjudian tiada langsung manfaat dan kebaikan kepada rakyat.
Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan, berkata aktiviti perjudian akan mendatangkan masalah hutang-piutang di kalangan rakyat kian membebankan, memporak peranda institusi keluarga dan masyarakat.
“YADIM menyakini bahawa keputusan ini turut diterima dan disambut oleh seluruh rakyat khasnya umat Islam dan penganut agama lain amnya bahawa aktiviti perjudian sememangnya amat tidak berfaedah dan tiada mana-mana agama yang mengizinkannya.
“Begitu juga Kerajaan Negeri Kedah memutuskan untuk menghadkan penjualan minuman keras di kawasan terbuka dan juga di tempat-tempat yang tiada keperluan penjualan di seluruh negeri.
“Keputusan ini sekaligus bersifat Saddu Zaraie’ atau pencegahan sebelum berlaku keburukan yang ia menepati Maqasid Syariah bagi memelihara harta dan akal manusia daripada kerosakan dan kebinasaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nasrudin berkata, pihaknya yakin usaha dakwah dan pembinaan kefahaman Islam secara berterusan telah menjadikan keputusan menyekat aktiviti perjudian disambut baik oleh seluruh rakyat khasnya di Kedah dan Malaysia.
Katanya, malah YADIM berharap usaha murni itu layak dicontohi negeri-negeri lain yang belum lagi menamatkan lesen premis perjudian, yang pastinya judi itu meruntuhkan peradaban.
“YADIM mendoakan semoga Allah SWT melimpahkan rahmat ke atas seluruh rakyat negeri Kedah melalui keputusan ini dan dikurniakan keberkatan dari sisiNya,” katanya.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan Kerajaan Negeri tidak akan memperbaharui lesen perniagaan kedai nombor ekor dalam usaha menjadikan negeri itu bebas aktiviti perjudian.
Katanya, aktiviti perjudian menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan tamadun, selain masalah hutang.
Beliau berkata, penjualan minuman keras di semua premis juga akan dihadkan, khususnya kawasan luar bandar yang tiada permintaan. – Malaysiapost

