PERTEMBUNGAN Perikatan Nasional (PN) melawan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak akan menjejaskan hubungan antara dua gabungan politik itu yang bekerjasama di membentuk Kerajaan Persekutuan.
Perkara itu disuarakan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berharap hubungan kedua-dua gabungan itu tidak menjadi keruh di peringkat pusat.
“Kerajaan persekutuan yang kita tubuhkan adalah gabungan banyak parti yang agak luar biasa, tetapi saya fikir ini adalah untuk kepentingan negara. Ini dilakukan untuk memastikan beberapa kestabilan.
“Saya rasa ini tidak mengapa pada tahap Kerajaan Persekutuan. Jadi diharap ia tidak menimbulkan sebarang isu. Harap perdana menteri (Ismail Sabri Yaakob) akan bekerjasama dengan ahli kabinet yang lain, dari BN atau PN.
“Bagaimanapun keputusan telah dibuat bahawa gabungan masing-masing (BN dan PN) untuk bertanding berasingan, kita perlu menghormatinya,” katanya pada sidang media di Shah Alam selepas melancarkan manifesto PN untuk pilihan raya Melaka.
Meskipun bekerjasama membentuk Kerajaan Persekutuan 23 Ogos lalu yang menyaksikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi Perdana Menteri, namun Umno memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PN dalam mana-mana pilihan raya yang bakal diadakan.
Perhimpunan Agung Umno 2020 lalu, memutuskan perkara berkenaan dan Umno akan mengetuai BN dalam menghadapi sebarang pilihan raya. – Malaysiapost

