Nak tarik sokongan supaya ada PRN? Umno Johor bersedia

0
2

UMNO Johor bersedia menghadapi sebarang kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di negeri itu.

Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata, Umno Johor tidak gusar jika Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu mengikuti langkah seperti Melaka yang terpaksa berdepan PRN.

“Nak tarik sokongan supaya ada juga PRN Johor? Silalah. Umno Johor tetap bersedia. Kami tetap menghormati mandat rakyat,” katanya di Facebook, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata demikian mengulas ucapan Muhyiddin yang mendakwa PRN boleh berlaku di Johor jika terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Bersatu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Shahrir membidas Muhyiddin dengan menyifatkan Bersatu gagal menerajui kerajaan Johor dengan baik sehingga dua Menteri Besar daripada parti itu terpaksa digantikan.

“TS Mahiadin berkata, atas sifat perihatinnya, kerajaan negeri Johor kepimpinan Umno/BN tidak ditumbangkan. Kalau satu dua Adun Bersatu tarik sokongan dari kerajaan Johor sekarang, sudah boleh diadakan PRN Johor.

“Sebelum ke situ, soalnya mengapa pemimpin Umno yang jadi MB Johor sekarang ni? Jawapannya mudah.

“Kerana sudah dua pemimpin PPBM (Bersatu) yang pegang jawatan itu sebelum terpaksa dilantik Dato Hasni (Mohammad) sebagai MB. Iaitu MB Johor ketiga selepas PRU14.

“Kalau ada yang layak dalam kalangan Adun PPBM, tentu tidak terlepas jawatan itu kepada Umo/BN,” katanya.

Terdapat 56 kerusi di DUN Johor dengan agihan terkininya adalah Umno dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (2), PAS (1), manakala Amanah (9) dan PKR (4).

Kerajaan Johor yang dipimpin Menteri Besar daripada Umno, Datuk Hasni Mohammad memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi, berbanding 27 kerusi di blok pembangkang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here