
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas 50 kotak mengandungi 72 unit ubat gigi disyaki tiruan selepas memeriksa sebuah kontena di Pelabuhan Utara, Klang, semalam.
Serbuan dijalankan susulan aduan berhubung wujud perlakuan pelanggaran cap dagang daripada wakil pemilik cap dagang bagi sebuah jenama popular ubat gigi.
Serbuan dilakukan dengan kerjasama National Targeting Centre, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata kontena itu dipercayai lokasi pelepasan daripada Pelabuhan Ningbo, China pada 25 Oktober dan tiba di Pelabuhan Utara, 2 November lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 50 kotak yang mengandungi 72 unit ubat gigi dengan jenama terlibat dan berada dalam kontena yang diperiksa dalam serbuan.
“Jenama tersebut disyaki menyerupai atau hampir serupa dengan suatu cap dagangan berdaftar/ sah yang dimiliki oleh sebuah syarikat terkenal.
“Antara lain juga, turut disyaki kemungkinan berlaku kesilapan ejaan melibatkan cap dagangan asal tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Muhamad Zikril Azan pihaknya menyita semua barangan tersebut untuk siasatan lanjut yang melihatkan nilai sitaan kira-kira RM35,000. – Malaysiapost
