KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi Yayasan Bank Rakyat menaja RM300,000 bagi penganjuran Program Prestij Pembelajaran Negeri Selangor 2021 oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Khas kepada guru dan murid.
Menterinya Tan Sri Noh Hj Omar berkata aktiviti berkenaan diyakini dapat membantu meningkatkan motivasi dan profesionalisme guru melalui program sokongan di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta memantapkan pembelajaran dalam menghadapi peperiksaan.
Menurutnya, beliau menyokong inisiatif Yayasan Bank Rakyat itu dan berharap lebih banyak entiti korporat tampil membantu menaja program seumpama itu.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa syarikat korporat turut mengambil berat dan memberi sokongan terhadap institusi pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Megat Zulkarnain berkata setiap PPD di Selangor akan menerima RM30,000 menerusi tajaan berkenaan.
“Ini bertujuan pelaksanaan program holistik untuk meningkatkan prestasi dan kecemerlangan murid di seluruh Selangor.
“Enam program yang telah dirancang awal bagi setiap PPD ini diharapkan dapat meningkatkan perhatian murid dalam sesi pembelajaran dalam suasana pandemik terutamanya platform pembelajaran secara digital,” katanya.
Beliau berkata, tajaan itu juga diharap dapat meringankan beban guru dalam meningkatkan kualiti pendidikan serta memantapkan lagi ilmu.- Malaysiapost

