SEORANG lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas terjatuh dari buaian berpusing di tapak pesta ria atau ‘fun fair’ berhampiran pusat beli-belah di Cheras Selatan, tengah malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd Nasir Drahman, berkata polis menerima maklumat kejadian daripada pekerja tapak pesta ria berkenaan pada 12.05 tengah malam.
Menurutnya, insiden dua lelaki terjatuh dari buaian permainan fun fair dimaklumkan saksi terbabit.
“Salah seorang mangsa berusia 39 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi.
“Manakala seorang lagi mangsa berusia 30-an mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Nasir berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan.
Katanya, siasatan di lokasi mendapati tiada unsur jenayah dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
“Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian sama ada terdapat unsur kecuaian pada pihak pemilik pesta ria berkenaan mahupun mangsa sendiri.
“Justeru, individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohd Emran Mohd Noor di talian 013-7638512 atau balai polis berdekatan,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Kosmo

