Foto Kredit: Harian Metro
CARIAN Data Persalah Rasuah di laman sesawang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat diakses pagi ini berkemungkinan ‘server’ menerima kunjungan yang tinggi.
Ia susulan data pesalah rasuah itu turut memaparkan gambar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Kesesakan trafik di laman berkenaan mungkin disebabkan laporan Harian Metro mengenai gambar wajah dan nama akan didedahkan kepada satu ‘dunia’ jika terbabit dengan jenayah rasuah.
Laporan itu menyatakan jurucakap SPRM berkata, objektif utama inisiatif ini bertujuan menunjukkan langkah-langkah pencegahan dan memberikan petunjuk yang jelas bahawa SPRM mengisytiharkan ‘perang’ terhadap rasuah.
“Pangkalan data ini berkhidmat sebagai alat kesedaran yang penting bagi membantu orang awam dan organisasi dalam melaksanakan proses penyelidikan dan penilaian sebelum mengambil, melantik atau menaikkan pangkat pekerja mereka.
“Pangkalan data ini juga memainkan peranan sebagai alat pengajaran bagi mencegah orang lain daripada melakukan perbuatan rasuah selain bertindak sebagai faktor yang memberi keinsafan terhadap mereka yang disabitkan dengan kesalahan rasuah.
“Ini kerana maklumat mengenai mereka dan kesalahan dilakukan akan dipaparkan dan boleh diakses oleh orang awam selama tempoh tiga tahun bermula dari tarikh ia mula dipaparkan di laman sesawang SPRM,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, berkata, Pangkalan Data Pesalah Rasuah dibangunkan itu boleh digunakan bagi menyemak latar belakang bakal pekerja, rakan kongsi atau sesiapa sahaja yang disyaki terbabit dengan jenayah.
Menurutnya, gambar pesalah yang disabitkan bersalah oleh mahkamah akan dimasukkan ke dalam Pangkalan Data Pesalah Rasuah itu. -Malaysiapost

