MUSIM pilihan raya menyaksikan setiap calon berlumba-lumba mahu membantu rakyat dalam kesusahan bagi membuktikan kecaknaan mereka terhadap pengundi.
Itulah yang berlaku apabila tiga calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek sama-sama menyantuni mangsa banjir di kawasan berkenaan.
Mereka ialah P Shanmugam mewakili Barisan Nasional (BN); Mohd Amir Fitri Muharam dari Perikatan Nasional (PN) dan penyandang kerusi, G Saminathan dari Pakatan Harapan (PH) yang turun padang meninjau penduduk di Kampung Gadek Dalam.
Ketiga-tiganya hadir berasingan ke lokasi jam 11 pagi tadi sebelum melakukan tinjauan bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dari Pejabat Daerah Pertahanan Awam Alor Gajah.
Turut hadir, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah merangkap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Lt (PA) Mohd Ridhwan Latip yang member penerangan situasi banjir kilat.
Menurut Mohd Ridhwan sebanyak 10 rumah terjejas, namun belum ada mangsa yang dipindahkan setakat jam 3 petang tadi.
“Banjir berpunca akibat hujan lebat di sekitar DUN Gadek dan Machap bermula jam 7 malam sehingga lewat malam tadi menyebabkan air sungai dan parit melimpah di kawasan rendah,” katanya.
Beliau berkata, pemantauan turut dibantu anggota polis, bomba, Jabatan Pengairan dan Saliran, Majlis Perbandaran Alor Gajah serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung. – Malaysiapost

