PH yang mahu guna Vellfire – Najib

0
2
Pix via Malaysiapost

DATUK Seri Najib Razak mendakwa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya merealisasikan niat yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menggunakan Toyota Vellfire 2.5L sebagai Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) Menteri Kabinet bagi menggantikan Proton Perdana 2.4 Premium.

Bekas Perdana Menteri itu, berkata Kerajaan PH yang mentadbir negara selama 22 bulan bermula Mei 2018 yang mencadangkan perkara itu memandangkan ia boleh menjimatkan RM3 kadar sewa sebulan untuk sebuah Vellfire.

Najib juga menyindir, Kerajaan PN telah meluluskan penggunaan Vellfire sebagai KRJ walaupun Perdana Menterinya mendakwa tidak memiliki dana yang cukup kerana membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Isu jimat RM3 sebulan untuk tukar kereta Proton Perdana ke Vellfire. Kerajaan PH yang cadang.

“Dilaksana kerajaan PN pada masa PM8 (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kata kerajaan tak ada banyak duit lagi untuk bantu Rakyat,” katanya di Facebook, hari ini.

Tambah menarik, Najib berkata, kedua-dua bekas kerajaan telah saling menyalah dan menuduh antara sama lain berhubung perkara berkenaan.

“Menteri Kewangan kerajaan PN kata kerajaan PH dahulu yang putuskan untuk tukar ke Vellfire.

“Menteri Kewayangan PH pula kata hari ini bahawa bukan kerajaan PH yang putuskan. Cuma cadang sahaja sebab kereta Vellfire terlalu mewah.

“Dia kata dia. Dia cakap dia. Hanya sebab tukar kereta Perdana ke kereta Vellfire boleh jimat RM3.00 sebiji sebulan,” sindir Najib.

Bagaimanapun, Najib juga hairan kenapa kerajaan PH pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menggunakan Proton X70 sebagai KRJ.

“Kenapa pula tak pakai Proton X70? Kan PM7 rasmikan pelancaran kereta tersebut dan kata ianya amat bagus walaupun dia pernah tuduh Proton bukan lagi syarikat Malaysia sebab kononnya sudah dijual Najib?” katanya.

Terdahulu, PH memaklumkan parti itu tidak meluluskan malah tidak pernah mengumumkan pertukaran KRJ bagi Menteri-menteri Persekutuan daripada Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire 2.5L.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ia berlawanan dengan kenyataan Kementerian Kewangan baru-baru ini bahawa cadangan penggantian KRJ sebenarnya telah dipertimbangkan semasa pentadbiran PH. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here