PM adakan lawatan rasmi ke Indonesia tiga hari

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi  pertama beliau ke Indonesia selama tiga hari bermula hari ini.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan Ismail Sabri dijadual mengadakan perjumpaan dengan Presiden republik itu,  Joko Widodo.

Menurutnya, Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan pegawai-pegawai kerajaan dari kementerian serta agensi berkaitan.

Menurut kenyataan itu, lawatan rasmi ini akan membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala yang sedia kukuh dan pelbagai antara Malaysia dan Indonesia.

“la akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin negara untuk meneroka peluang kerjasama dalam usaha-usaha pemulihan daripada kesan pandemik Covid-19.

“Kedua-dua pemimpin juga akan membincang perkembangan penting di rantau ini dalam konteks kerjasama ASEAN, serta cabaran yang mampu menjejaskan keamanan, pertumbuhan dan kemakmuran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, dalam rangka lawatan rasmi berkenaan, Perdana Menteri akan mengadakan perjumpaan dengan komuniti perniagaan dan pemain industri utama Indonesia.

“Ia termasuk ketua-ketua editor Indonesia, diaspora Malaysia di Indonesia serta menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman dan perjanjian antara kedua-dua negara.

“Perdana Menteri akan turut melawat fasiliti industri pertahanan wilayah Bandung.

“Lawatan rasmi ini juga akan dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kerajaan Malaysia dan Indonesia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here