KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) menyambut baik pelancaran Vaccinated Travel Lane (VTL) antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mulai 29 November ini.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata ia susulan kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong semalam.
“Mudah-mudahan dengan pelancaran VTL ini, industri penerbangan terutamanya dapat kembali bangkit dan pulih setelah sekian lama terkesan akibat Covid-19.
“Ini pastinya melegakan Keluarga Malaysia khususnya mereka yang terlibat dalam industri seperti kru penerbangan dan para kakitangan di lapangan terbang,” katanya menerusi kenyataan.
Ka Siong berkata melalui VTL, pelancong yang menerima vaksinasi lengkap akan dapat melakukan perjalanan antara Malaysia dan Singapura, tertakluk kepada ujian saringan Covid-19.
“Diharapkan SOP seperti kuarantin wajib atau kuarantin kendiri di rumah dilonggarkan memandangkan kemajuan ketara telah dicapai kedua-dua negara dalam pemberian vaksin dan pengurusan pandemik Covid-19 secara amnya.
“Dalam masa sama, penerbangan ke negara-negara rakan ASEAN yang lain juga kini dalam perbincangan,” katanya.
Semalam kedua-dua pemimpin berkata Malaysia dan Singapura bakal memulakan VTL melalui udara antara KLIA dan Lapangan Terbang Changi bermula dari 29 November 2021.
Hanya individu yang telah divaksin lengkap dibenarkan memanfaatkannya namun masih tertakluk kepada ujian pengesanan Covid-19 tetapi tidak perlu menjalani kuarantin.
Kedua-dua pemimpin juga sedang perhalusi untuk turut memulakan semula perjalanan darat melibatkan Tambak Johor dan Link Kedua dalam masa terdekat. – Malaysiapost

