KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini akan menjadi penentu kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk melakar lanskap dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata segalanya bergantung sama ada berjaya atau sebaliknya BN dalam PRN Melaka.
“Terima kasih kepada semua yang turun ke Melaka membantu calon-calon kita.
“Jaya atau gagal akan menjadi cerminan kepada Umno dan BN untuk melakar lanskap dalam PRU15.
“Semangat jentera kita dari seluruh negara untuk membantu jentera BN Melaka amat berbeza sekarang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.
Dalam PRN Melaka itu, BN bertanding semua 28 kerusi bagi berdepan Perikatan Nasional (PN) serta Pakatan Harapan (PH).
BN juga tidak menjalinkan kerjasama dengan PAS susulan parti Islam itu memilih untuk bertanding menggunakan lambang PN. – Malaysiapost

