PH: Beri ruang ceramah dalam stesen tv kerajaan

0
2

PAKATAN Harapan (PH) menggesa kerajaan memberi ruang sekurang-kurangnya 30 minit bagi setiap parti untuk berceramah di stesen televisyen milik kerajaan seperti TV1, TV2 dan Bernama TV pada setiap malam.

Jawatankuasa Komunikasi, Digital dan Multimedia PH berkata kerajaan juga wajar memberi ruang sekurang-kurangnya 60 minit bagi setiap parti pada setiap hari untuk berceramah menggunakan Melaka FM dan Bernama Radio.

“Program forum perdana yang diwakili setiap parti diadakan sekurang-kurangnya sekali melalui saluran TV dan radio rasmi sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“PH percaya dengan membenarkan semangat lebih terbuka media rasmi terhadap semua pihak ini akan merancakkan lagi amalan demokrasi di Malaysia,” kata jawatankuasa itu dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan bersama itu mewakili Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi; Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai; Setiausaha Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN), Soraya Salim dan Pengarah Komunikasi Wanita PKR, Loh Ker Chean.

Prosedur operasi standard (SOP) dalam portal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) antara lain tidak membenarkan calon dan parti dalam PRN Melaka mengadakan aktiviti ceramah, berhimpun, ziarah rumah ke rumah dan tinjauan mesra.

Sebaliknya, setiap calon disaran menggunakan televisyen, akhbar serta media sosial, selain boleh menyebarkan risalah atau menggunakan lori dan van bergerak untuk menyebarkan manifesto dan berkempen.

Mengulas lanjut, jawatankuasa itu berkata gesaan tersebut dibuat susulan perjalanan berkempen sepenuhnya secara media sosial belum dapat dilaksanakan dengan lancar kerana kekangan rangkaian telekomunikasi dan internet yang belum meluas di Melaka.

“Para pengundi di Melaka tinggal di kawasan dengan capaian internet atau telekomunikasi tidak baik, tiada telefon pintar dan tidak fasih media sosial bakal ketinggalan menerima maklumat tepat dan terkini daripada calon parti-parti yang bertanding.

“Mereka sudah pasti mempunyai akses kepada saluran maklumat yang lebih tradisional seperti radio, televisyen, dan surat khabar.

“Ini akan mengakibatkan kesenjangan akses maklumat serta ketempangan amalan demokrasi yang wajib diatasi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here