Ahli Parlimen DAP pun tidak kuasai Bahasa Melayu dengan baik – Isham Jalil

0
2

INSIDEN membabitkan Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching yang memuat naik profil media disertakan kata cacian juga membuktikan ada pemimpin DAP gagal menguasai Bahasa Melayu dengan baik.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil berkata tindakan bekas timbalan menteri pendidikan itu memuat naik profil bertulis ‘lahabau Melaka. Jom Undi’ itu jelas mengguris hati rakyat negeri itu.

“Maksud dia (Nie Ching) pun tak faham Bahasa Melayu. Sebab maksud lahabau itu adalah perkataan makian. Mereka mahu salahkan calon kita sahaja.

“Calon kita akan cuba tingkatkan Bahasa Melayu. Sekurang-kurangnya dia tidak gunakan perkataan lahabau Melaka,” katanya di Facebook.

Hari ini, Nie Ching tampil memohon maaf kepada rakyat Melaka susulan menggunakan perkataan tidak sopan dalam sebuah poster sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Poster memaparkan gambarnya dengan perkataan “Lahabau Melaka, Jom Undi” tular di media sosial hari ini, menjadi kontroversi kerana mengguris perasaan rakyat Melaka.

“Saya cuma ingin berkempen melalui “frame” percuma yang boleh didapati di dalam Facebook tanpa memahami maksud sebenar perkataan tersebut,” katanya.

Isham berkata tindakan lawan menyerang calon BN DUN Kesidang, Leong Hui Yin yang didakwa tidak faham Bahasa Melayu sudah boleh diagak dan serangan juga dilemparkan terhadap Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira calon BN DUN Rim.

“Kita (BN) boleh agak perkara ini berlaku apabila mula penamaan calon mereka (pihak lawan) akan kempen negatif pada calon-calon kita. Termasuk pada calon di Kesidang dari MCA dan calon Umno di Rim.

“Saya lihat video itu. Mungkin dia (Hui Ying) gementar. Pertama kali bukan senang nak jawab soalan wartawan ataupun dia tak dengar.

“Kalau ikut kefasihan kita tidak boleh harap dia fasih macam kita. Setiap orang kefasihan berbeza,” katanya-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here